Monday, March 18, 2013

Apa Rasa MATI ?

Assalamualaikum..

Entri pertama untuk tahun ini. Bunyinya sungguh berat. Pertanyaan dari seorang teman yang membuatkan aku terus bangun dari tidur.



 
Inilah destinasi akhir kita nanti

Sememangnya aku tiada jawapan untuk soalan itu. Cuma kalau ditanya, apa rasa mati pada orang yang ditinggalkan oleh si mati? Mungkin aku mampu menjawabnya dengan baik.

Rasa kosong. Paling terasa selepas selesai segala urusan pengkebumian. Apabila seorang demi seorang yang datang menyampaikan rasa simpati dan takziah pulang ke rumah masing-masing.

Rasanya sungguh kosong. Apabila bangun dari tidur akibat keletihan menyelesaikan segalanya. Tatkala mata dibuka, otak kembali mengingati apa yang berlaku sebelum mata terlelap.

Rasa pedih mula mengisi hati dan jasad yang ditinggalkan. Jika sebelum ini mampu gagah melangkah dengan penuh harapan, tapi pada saat itu untuk menapak pun tidak mampu walau selangkah.

Redha. Ya, perkataan yang senang diungkap. Malah sebelum pemergiannya telah acap kali diucap apabila semakin hari melihat keadaanya yang semakin tenat. Hati kecil selalu berkata, "aku redha, jika ini yang terbaik untuk dia, aku redha dia pergi dari melihat dia menanggung derita"

Cuma ingin memaksudkan erti redha itu, sangat menyakitkan. Malah sehingga jasad yang mati itu hilang dari pandangan mata, masih belajar erti sebuah redha.

Tabah. Belajar erti tabah. Hidup mesti diteruskan. Doa dikirim tanda sayang dan cinta yang tiada terhingga. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Kehilangan mengajar kita semua erti hidup. Erti redha yang sebenar. Erti tabah. Erti belajar menerima hakikat yang tiada yang sama lagi selepas ini. Erti kuat di hadapan semua orang yang disayangi walaupun diri sendiri serasa ingin tumbang menyembah bumi.

Terima kasih wahai teman tentang pertanyaan itu. Sekurang-kurangnya kamu membuatkan aku berfikir dan bermuhasabah diri. Aku sayang kamu!

Rasulullah bersabda :
“Apabila matinya seorang anak Adam itu maka terputuslah segala amalan melainkan 3 perkara,ilmu yang bermanfaat,sedekah jariah dan doa daripada anak-anak yg soleh.”
 
 
Al-Fatihah untuk semua kesayanganku yang telah pergi meninggalkan aku. Semoga kalian damai di sana.